OGOS 2023

Hala Tuju Sarawak Selepas 60 Tahun, Stabil Dan Makmur


MUKAH: Kestabilan politik Sarawak memberi ruang kepada negeri melakar hala tuju yang jelas dalam pelbagai aspek pembangunan terutama ekonomi melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS2030).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejak 2017 pelbagai usaha dilaksanakan menerusi pembangunan digital, infrastruktur, sumber manusia dan pendidikan, penjanaan tenaga boleh diperbaharui, penyertaan dalam sektor minyak dan gas di samping meneroka bidang-bidang baharu khususnya ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, perniagaan karbon dan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Katanya, semua usaha itu bertujuan membolehkan ekonomi negeri ini berkembang dengan lebih pantas ke tahap yang tinggi supaya hasil negeri bertambah dan rakyat boleh mendapat pekerjaan dengan gaji yang lumayan. 

‘’Segala usaha berterusan dilakukan untuk menarik pelaburan dari luar negara dalam sektor industri yang berasaskan tenaga secara intensif dan penghiliran industri minyak dan gas seperti di Samalaju dan Tanjung Kidurong, Bintulu demi kebaikan rakyat,’’ katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Abang Johari berkata, dalam tempoh 66 tahun banyak kemajuan telah dicapai oleh negara dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini.

Bagaimanapun katanya kebelakangan ini negara tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaganya untuk kemajuan keseluruhannya. 

‘’Terdapat pemimpin-pemimpin yang kelihatan agak terdesak untuk menggunakan isu kaum dan agama yang boleh memecah belahkan masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih sokongan politik. 

‘’Sudah pastinya ini tidaklah baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pandemik Covid-19, perperangan dan perubahan ilklim global sebaliknya sebagai sebuah negara, kita sepatutnya bersatu untuk menghadapi semua permasalahan ini,’’ katanya.  

Sehubungan itu beliau menekankan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah sama penting dengan kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai, 1963 kerana ia telah mencetuskan idea dan usaha penggabungan  Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah, termasuk Singapura untuk menubuhkan negara baru pada 16 September 1963 yang dinamakan Malaysia.

Ini kerana pemimpin Sarawak pada ketika itu bersetuju untuk bergabung dengan wilayah-wilayah lain untuk menubuhkan Malaysia demi memelihara keselamatan negeri daripada kuasa dan pengaruh ideologi asing dengan syarat-syarat tertentu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya.

GAMBAR: JAPEN&JABATAN PREMIER

Sumber dari : Jiwa Bakti